Penggunaan
teknologi komputer dalam bidang pendidikan bukanlah lagi suatu yang baru, malah
telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika dan
negara-negara di Eropah. Pada peringkat awal, blog digunakan oleh individu
untuk merakamkan sejarah hidup individu atau diri sendiri, meluahkan perasaan
dan pandangan peribadi serta untuk berkongsi idea. Kemudian terdapat sebahagian
pengguna yang menggunakan blog untuk tujuan dan memasarkan kebolehan dan
perkhidmatan. Seterusnya ada kelompok pengguna yang memanfaatkan blog untuk tujuan
pengajaran. Dalam konteks pendidikan, ianya berfungsi membantu meringankan
bebanan tugasan pengurusan dan pentadbiran. Dalam banyak kes, kehadiran
sesuatu teknologi baru hanya sebagai penguat kepada pendekatan pembelajaran
konvensional yang sedia ada (Gagne et al. 2005). Kemajuan dan perkembangan ICT memungkinkan para guru untuk
memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang terdapat dalam internet kerana internet
juga berpotensi sebagai alat untuk mempelbagaikan gaya pengajaran dan
pembelajaran bagi semua mata pelajaran. Hal ini bersesuaian dengan kehendak
Kementerian Pendidikan Malaysia. Aspek teknologi telah digabungkan dalam
kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat
serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Budaya persekolahan
seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang
berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan penyayang dengan menggunakan
teknologi terkini (KPM:1997). Namun begitu, terdapat beberapa perkara penting
yang perlu difahami oleh para guru berhubung dengan penggunaan internet dalam
proses pengajaran dan pembelajaran iaitu pertamanya internet hanya berfungsi
sebagai sumber dan alat bantu dalam P&P . Aktiviti pembelajaran hendaklah
dipilih dan dirancang dengan teliti oleh para guru supaya internet dapat
digunakan secara berkesan. Keduanya, internet tidak mengubah peranan guru.
Malahan guru hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan
pengetahuan dalam bidang IT. Ketrampilan dan keperibadian guru yang baik dan
mulia akan tetap menjadi tunjang dan ikutan utama. Penggunaan komputer dan
internet dapat mengurangkan beban tugas guru dan murid di samping setiap kerja
dapat dilakukan dengan kemas, teratur dan sistematik.
Apa Itu Blog?
Perkataan
blog merupakan singkata daripada perkataan ‘weblog”. Blog juga dikenali sebagai
jurnal atau diari online yang member focus kepada perkongsian pendapat
peribadi, pengetahuan dan pengalaman
dalam sesuatu bidang. Pada masa ini, blog mudah untuk dibina dan diuruskan
kerana penyedia blog seperti wordpress dan blogspot telah dilengkapi dengan
pelbagai fungsi yang mesra pengguna. Istilah ‘weblog’ dicipta oleh Jorn Barger
pada 17 Disember 1997. Sementara itu
singkatannya ‘blog’ pula dicipta oleh Peter Merholz secara tidak sengaja
apabila beliau telah memisahkan perkataan ‘weblog’ menjadi frasa ‘we blog’ di
palang sisi blog miliknya iaitu ‘Peter.com’ pada tahun 1999. Ia telah diterima
baik sebagai kata nama mahupun sebagai kata kerja, dalam bahasa inggeris ‘to
blog’ bermaksud mengedit ‘weblog’ atau menghantar pesanan ke ‘weblog’. Kini telah
terdapat lapan jenis blog yang digunakan seperti ‘personal blog’, ‘problogger’,
‘business blogger’, ‘hybrid blogger’ ‘authority blog’, ‘social/relationship
blog’, ‘miscellaneous blogger’, dan ‘journalist blog’.
Kelebihan Penggunaan Laman Web
Kepesatan
penyebaran maklumat dalam blog telah membawa kepada revolusi dalam kehidupan di
seluruh dunia. Justeru itu, kemudahan internet sepatutnya dimanafaatkan ketika proses
pengajaran dan pembelajaran. Aplikasi laman web boleh digunakan sama ada
sebagai bahan bantu atau pun sebagai sumber maklumat yang diintegrasikan terus
ketika proses pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan
ICT telah menyebabkan berlakunya beberapa perubahan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Antaranya ialah perubahan fokus iaitu daripada pengajaran
berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan pelajar. Hal ini membawa maksud
murid telah menjadi fokus kepada aktiviti pembelajaran yang berorientasikan
kepada proses penerokaan dan penemuan yang sangat bersesuaian dengan teori
konstruktivisme. Pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah menuntut pelbagai
pembaharuan dan cabaran secara komprehensif. Guru-guru Bahasa Melayu yang
sentiasa prihatin dengan arus pendidikan semasa negara sewajarnya meneladeni
hal tersebut agar tidak terus-terusan mengajar para pelajarnya subjek Bahasa
Melayu secara konvensional atau dengan kata lain ketinggalan zaman(Samuel &
Zaitun 2007 ).
Di
samping itu. penggunaan laman web dalam pembelajaran Bahasa Melayu dapat
memberi impak kepada murid kerana murid boleh menimba ilmu pengetahuan berserta
contoh-contoh yang pratikal. Hal ini berlaku kerana kemudahan hipermedia dan
multimedia telah memudahkan pendekatan dan kaedah belajar yang mungkin tidak
dapat dilaksanakan dengan penggunaan kaedah tradisional. Penggunaan ICT jenis
ini dapat menyediakan memberi peluang kepada pelajar kepada penciptaan dan
penerokaan ilmu secara aktif di samping menerima ilmu secara sehala sahaja
dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Penulis berpendapat bahawa kedua-dua proses
ini masih releven dan praktikal serta tidak dapat dipisahkan dalam pengajaran
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di negara kita.
Selain itu, pembelajaran bahasa
akan menjadi lebih menarik dan bermakna kepada para pelajar seandainya
persekitaran belajar iaitu sama ada di dalam atau di luar dilik darjah kaya
dengan input bahasa yang meliputi pendengaran, pembacaan, pertuturan dan
penulisan. Didapati bahawa pembelajaran bahasa menggunakan laman web dapat
memenuhi keperluan ini. Hal ini dikatakan demikian kerana proses pemerolehan
dan pembelajaran biasanya berlaku secara serentak. Perkara ini dapat membantu
pelajar menguasai kemahiran Bahasa Melayu secara lebih berkesan dan
menyeronokkan.
Perkembangan teknologi, pengaruh
sosial dan perkongsian maklumat menyebabkan pelajar gemar menggunakan blog.
Pelajar perlu menggunakan blog dalam aktiviti pembelajaran supaya menghasilkan
suasana pembelajaran yang lebih efektif dan efisyen. Revolusi maklumat yang
berlaku disebabkan oleh kemajuan ICT yang memberi cabaran baru kepada profesion
keguruan, di samping kemajuan yang berlaku ini
perlu dimanfaatkan untuk mempertingkatkan martabat profesion keguruan yang
sedang mengharungi perubahan abad ke-21 (Padraig &Lawler 2007). Dalam
bidang pendidikan, penggunaan teknologi dapat menyediakan kaedah mengajar
dengan memberi penekanan kepada penciptaan dan penerokaan ilmu secara aktif
menjadikan pelajar lebih berfikiran kreatif dan inovatif bersesuaian dengan
kehendak penulisan Bahasa Melayu.
Seterusnya,
blog juga dapat meningkatkan minat untuk belajar di kalangan para pelajar. Hal
ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan golongan yang sentiasa berminat untuk
mencuba sesuatu perkara yang baru dan lebih suka belajar di luar bilik darjah. Ketika
menggunakan blog, pelajar tidak mudah jemu untuk membaca dan belajar. Perkara
ini berlaku kerana mereka boleh melayari internet selepas mereka penat belajar.
Pelakuan seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan dan pengalaman
murid terhadap sesuatu isu tetapi juga dapat menambahkan perbendaharaan kata
mereka. Kemahiran berbahasa Melayu mereka pasti akan meningkat dari masa ke
semasa. Kaedah pembelajaran sebegini menyebabkan pelajar lebih berminat belajar,
dan gemar belajar walaupun di luar waktu persekolahan.
Selanjutnya,
laman web boleh membantu komunikasi antara guru dan dengan cepat dan mudah.
Guru dan pelajar dapat menggunakan laman ini untuk berunding walaupun berada di tempat yang jauh. Namun begitu
komunikasi jenis ini masih kurang sempurna kerana mereka tidak dapat melihat
secara dekat menyebabkan intonasi, gerak laku dan ekspresi wajah yang turut
merupakan unsur penting dalam komunikasi tidak dapat digambarkan. Guru Bahasa
Melayu juga boleh menggunakan papan buletin untuk memaparkan maklumat terkini
dan bahan pembelajaran yang diperlukan oleh murid. Dengan menggunakan papan
buletin guru dapat memberi maklumat seperti bahan bacaan, latihan dan
peringatan tertentu kepada pelajar mereka.
Penutup
Guru
semestinya tidak ketinggalan mempelajari cara membangunkan blog, mengaplikasi
prinsip pedagogi ketika menggunakan blog dan mengeksploitasi kemudahan yang ada
dalam blog. Dunia pendidikan pada hari ini sedang mengalami zaman
penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya dalam
pengajaran (A. Aziz Deraman, 2007). Namun demikian, aspek pengajaran perlu
diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang
diajarkan. Penggunaan laman web dalam proses pengajaran dan pembelajaran bukan
hanya mampu meningkatkan keupayaan pelajar dalam menguasai kemahiran Bahasa
Melayu malahan semua mata pelajaran dengan lebih berkesan lagi. Oleh hal
demikian, guru perlu terus digalakkan menggunakan internet atau laman web
ketika proses pengajaran. Aspek latihan dalam perkhidmatan dan penyediaan
teknologi dan prasarana yang sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa perlu
diberikan perhatian.
Rujukan
A.Aziz Deraman(2007). Bahasa Melayu dan Cabaran Global. Dewan Bahasa dan
Pustaka:Kuala
Lumpur.
Gagne, R.
M., Wager, W. W., Golas, K. C. & Keller, J. M. (2005). Principles of
instructional design. 5thEdition. Boston: Thomson Wadsworth.
Padraig
Wims & Mark Lawler. 2007. Investing in ICTs ineducational in developing
countries:An
evaluation of their impact
in Kenya. International Journal of Education and Development using
Information and Communication Technology (IJEDICT) 3(1): 5-22.
Samuel
R.J. & Zaitun A.B. 2007. Do teachers have adequate ICT resources and the
right ICT
skills in integrating ICT tools
in the teaching and learning of English language in Malaysia schools? The
electronic Journal on Information Systems in Developing Countries
(EIISDC) (2007) 29, 2, 1-15. (atas talian) http:/./ \ \\ N%,.ej 1 sdc.oru.
Diakses pada 27 November 2014.